Reaksi awam Kematian Sandra Dianne

Keluarga

Ibu Sandra, Nor Syakinah berkata kepada Harian Metro: "Sebagai ibu mestilah sedih sebab kehilangan anak yang menyayat hati. Dia (Sandra Dianne) hilang dalam sekelip mata,".[25] Nor Syakinah meluahkan rasa kecewa dengan warganet yang menyifatkan Sandra sebagai mati katak.[26] Menurutnya: "Terima kasih kerana anda sudi komen walaupun komen anda tidak sepatutnya ditulis sebegitu [...] Sebagai seorang ibu yang kehilangan anak dalam kemalangan yang tragis ingin saya beritahu ya, anak saya yang awak cakap mati katak tu meninggal dunia dalam keadaan menangis dan hidungnya berpeluh [...] Keluarga kami sedang berkabung, berhati-hatilah dengan komen anda".[26] Menurut beliau, pakaian yang dipakai oleh Sandra untuk persembahan Big Stage akan disimpannya sebagai tanda kenangan.[27] Datuk saudara Sandra, Mohd Said Mohd Sator berkata: "Pemergian Sandra amat dirasai namun seluruh keluarga redha dengan ketentuan Ilahi".[28]

Rakan artis

Kematian mengejut Sandra Dianne turut mendapat reaksi daripada pelbagai artis dan rakan-rakan. Penyanyi Dayang Nurfaizah yang pernah membimbing Sandra di Mentor Legend terkesan dengan pemergiannya dan berkata: "Sebagai orang yang bekerja rapat dengan Sandra, saya cukup terkesan dengan perkhabaran ini [...] Membimbing arwah dalam Mentor Legend kira-kira enam tahun lalu, saya sifatkan sebagai suatu perjalanan yang cukup menyenangkan. Saya bersyukur sempat berkongsi ilmu dengannya".[29] Zizi Kirana yang juga anak jati Sabah menyifatkan Sandra sebagai seorang sahabat yang baik, malah mengakui kemunculan dalam IG Live menjadi komunikasi terakhir antaranya dengan Sandra, menurutnya: "Sehari sebelum kemalangan, Sandra muncul dalam IG Live saya [...] Tidak disangka momen itu menjadi perbualan terakhir kami. Kami mula berkenalan tiga tahun lalu sebelum rapat selepas terbabit dengan pembikinan lagu "Terkemuka" bersama kumpulan Benzooloo [...] Arwah manusia baik, punya hati bersih dan tidak suka bercakap perkara buruk mengenai orang lain".[29] Vokalis iamNEETA dan peserta Big Stage 2019, Neeta Manishaa berkongsi kenangan semasa mula mengenali Sandra, katanya: "Siapa yang kenal Sandra memang tahu dia seorang yang baik dan sentiasa akan buat orang selesa berada dengan dia. Kami mula kenal ketika dia mempromosikan lagunya, "Hey! Kau",".[30]

Aiman Tino, yang mula mengenali Sandra pada 2017 menyifatkannya sebagai seorang rakan yang baik dan sentiasa menceriakan orang sekeliling, sambil berkata: "Saya dan beliau pertama kali kenal masa kami ada persembahan di MATiC sekitar 2017, selain pernah beberapa kali bekerjasama membuat persembahan di acara hiburan. Mengenali Sandra ini, dia seorang yang ceria...".[21] Wani Kayrie yang mula mengenali Sandra ketika sama-sama mula menapak dalam industri muzik pada 2015 berkata: "Sandra Dianne, rakan seperjuangan yang sama kumpulan 2015 dengan saya... Banyak membuat persembahan sama-sama sebab nama kami baru nak naik [...] Orang tak kenal pun nama kami, tapi kenal lagu saja".[31]

Sarah Fazny, rakan seperjuangan Sandra dalam Mentor Legend menyifatkannya seorang yang baik hati dan berfikiran positif, beliau berkata: "Sandra secara peribadi seorang yang baik hati, tak suka bercakap fasal orang dan sentiasa positif".[31] Bennye Francis atau Benzooloo yang pernah bekerjasama dengan Sandra menerusi lagu "Terkemuka" pula menganggap suara Sandra terlalu unik, dan berkata: "Mana saya mahu cari suara macam Sandra lagi... susah. Suaranya terlalu unik dan sesuai digandingkan lagu rap.[32] Farisha Iris pula menyifatkan Sandra ialah seorang yang pendiam, "Sandra seorang yang pendiam, tidak banyak bergurau dan akan bercakap bila perlu sahaja".[33] Nana Sheme berkongsi penglamannya bersama Sandra: "Saya mula mengenali Sandra dan rapat dengannya beberapa tahun lalu dan pemergiannya adalah satu perkara yang benar-benar mengejutkan saya".[34]

Rujukan

WikiPedia: Kematian Sandra Dianne https://www.astroawani.com/berita-hiburan/bintang-... https://www.astroawani.com/berita-hiburan/kami-per... https://www.bernama.com/en/news.php?id=1878609 https://gempak.com/artikel/41365/konsert-big-stage... https://gempak.com/artikel/41387/tenanglah-dikau-d... https://gempak.com/artikel/41605/majlis-tahlil-doa... https://www.msn.com/en-my/news/hiburan/dayang-zizi... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/... https://www.dailyexpress.com.my/news/158275/sandra... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/619622/...